Manfaat jawatan pengerusi ASEAN

1 December, 2014
As appeared in My Metro

Kuala Lumpur: Malaysia perlu bersedia secukupnya untuk memanfaatkan dan memaksimumkan potensi yang ditawarkan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Pengerusi CIMB Group merangkap Pengerusi Bersama Kelab Perniagaan Malaysia (ABC) Malaysia, Datuk Seri Nazir Razak (gambar) berkata, Malaysia perlu mengambil kesempatan terhadap jawatan pengerusi ASEAN yang akan dipegang pada tahun 2015.

Katanya, ini adalah untuk memperkemaskan segala usaha sebelum penubuhan AEC dan pihaknya juga berharap kerajaan akan menangani isu untuk membantu perniagaan yang ada dengan segera.

“Terdapat banyak cabaran yang dihadapi oleh syarikat multinasional tempatan dalam ASEAN serta perusahaan kecil dan sederhana, dengan jangkaan pembentukan yang akan berlaku daripada AEC.

“Malaysia bukan saja perlu bersedia 100 peratus untuk AEC, malah ia harus lebih daripada itu,” katanya pada majlis pelancaran Laporan Menghapuskan Halangan (LTB) 2014, di sini, semalam.

Laporan berkenaan mengenal pasti halangan seperti nasionalisme ekonomi, kekangan modal insan, peraturan dan infrastruktur mundur, sebagai antara beberapa halangan utama.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group dan Pengerusi Forum Kelab Perniagaan ASEAN (ABC) 2014, Tan Sri Tony Fernandes.

Sementara itu, Tony berkata, perniagaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan AEC berlaku dan tidak perlu menunggu petunjuk daripada kerajaan mereka.

Katanya, institusi ASEAN perlu mengenal pasti kekuatan mereka dan memanfaatkannya untuk mengembangkan lagi komuniti ASEAN.

“Malaysia, sebagai contoh, sudah menambahkan usaha dalam pasaran pelancongan dan melalui penerbangan tambang rendah AirAsia sudah menjadikan perjalanan lebih murah (untuk perniagaan dan percutian) di rantau ASEAN dan seterusnya.

“Tetapi pemikiran perlu berubah. Perniagaan dan kerajaan perlu melangkaui sempadan negara dan berkembang ke peringkat serantau,” katanya.
– See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13350#sthash.ZTUj5PDu.dpuf